Mungkar Dicegah Hidup Berkat

 

 

2.1

Mungkar Dicegah Hidup Berkat

 

 عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ يَقُولُ: مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا، فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

 

Maksud potongan hadis

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا

Sesiapa dalam kalangan kamu melihat sesuatu kemungkaran

فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ

maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya

فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ

sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya

فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ

sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya

وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

dan (mengubah dengan hati) ialah selemah-lemah iman
 

Maksud kemungkaran

Bahasa

Perbuatan atau perkataan yang dianggap buruk oleh akal fikiran.

Istilah

Perbuatan atau perkataan yang ditegah oleh syarak atau yang melanggar perintah Allah SWT.

 

Hukum menangani kemungkaran: Wajib bagi setiap muslim menangani kemungkaran mengikut kemampuan masing masing.

 

Cara menangani kemungkaran

Tangan

Mengubah dengan kuasa yang ada pada seseorang mengikut kemampuan dan bidang kuasa  seperti ketua keluarga, ketua kelas, pengawas, ketua masyarakat dan ketua negara.

Lisan 

Menegur, menasihati atau melaporkan kemungkaran sama ada secara lisan atau tulisan.

Hati

Membenci atau menjauhi kemungkaran tersebut, berazam serta berdoa agar pelakunya diberi hidayah untuk bertaubat.

 

Hikmah menangani kemungkaran:

  • Dapat meningkatkan kualiti diri melalui nasihat dan teguran.
  • Mewujudkan masyarakat yang harmoni kerana bersikap prihatin.
  • Negara aman sejahtera kerana mendapat keredaan Allah SWT.
 

Pengajaran hadis

Sebagai umat Islam, kita hendaklah:

  • Mencegah kemungkaran dengan kuasa dan kemampuan yang ada seperti menguatkuasakan undang-undang atau peraturan.
  • Menangani kemungkaran secara lisan atau tulisan seperti nasihat dan teguran yang membina.
  • Membenci kemungkaran dalam hati dan berusaha untuk menjauhinya.