Pangkalan Data Hubungan 

2.1  Pangkalan Data Hubungan 
 
1.  Data ialah sumber komputer untuk membuat perancangan dan keputusan.
 
2.  Data yang diproses akan menjadi maklumat yang berguna kepada pengguna.
 
3.  Pengertian data dan maklumat:
 
Data
 
  • Himpunan data mentah mengenai sesuatu benda, kejadian, orang atau entiti yang boleh terdiri daripada perkataan, angka atau gambar.
  • Data boleh menjadi sesuatu fakta yang bermakna atau tidak bermakna sehingga fakta-fakta tersebut diproses.
 
Maklumat
 
  • Hasil daripada pengumpulan, pemprosesan dan penganalisaan data yang boleh digunakan untuk membuat sesuatu keputusan.
  • Maklumat yang dihasilkan ini akan menjadi lebih bermakna dan mudah untuk difahami oleh seseorang.
 
4.  Untuk memastikan integriti data yang disimpan, data perlu disimpan dalam komputer secara sistematik supaya mudah dicapai apabila diperlukan.
 
5.  Sebelum konsep pangkalan data diperkenalkan, data dalam sistem berkomputer disimpan dengan menggunakan sistem fail biasa.
 
6.  Sistem fail biasa mempunyai banyak kelemahan untuk menguruskan data dalam jumlah yang banyak dan kompleks.
 
7.  Untuk menjadikan pengurusan data lebih cekap dan efisien, teknologi komputer digunakan untuk memudahkan proses penyimpanan, pengeluaran dan pengemaskininan data.
 
8.  Evolusi pengurusan data:
 
Pemprosesan manual
 
  • Tidak melibatkan penggunaan komputer.
  • Tenaga manusia diperlukan untuk mengendalikan data.
  • Data yang telah diproses dimasukkan ke dalam fail dan kabinet mengikut arahan tertentu.
  • Kelemahan: Banyak tenaga buruh diperlukan, ruang yang besar untuk pemprosesan dan simpanan dan pencarian yang agak lambat apabila data semakin bertambah.
 
Sistem pemprosesan fail
 
  • Menggunakan teknologi komputer yang menyimpan dokumen-dokumen dalam bentuk fail digital.
  • Membolehkan aktiviti-aktiviti manual sebelum ini diproses secara automatik menggunakan sistem pengoperasian dan aplikasi komputer.
  • Kelemahan: Kesukaran mengesan salinan data yang sama dalam fail berlainan dan data lambat untuk dikemas kini.
 
Sistem pangkalan data
 
  • Lebih canggih daripada sistem pemprosesan fail kerana boleh menyimpan jumlah data yang banyak dalam ruang simpanan yang jauh lebih kecil.
  • Sistem perisian yang menguruskan pangkalan data.
  • Pangkaslan daa ialah koleksi data logikal yang berkaitan dan strukturnya membolehkan kandungannya dikeluarkan, diuruskan dan dikemas kini dengan mudah.
  • Model pangkalan data ialah penyusunan secara konseptual suatu pangkalan data dan merupakan 1 cara mentakrif dan menggunakan data dalam 1 pangkalan data.
  • Pangkalan data (PD) menyimpan data dengan strukturnya sekali.
  • Ruang memori komputer dapat digunakan secara minimum meskipun data yang disimpan amat besar dan banyak.
 
Sistem pangkalan data yang moden mengandungi ciri-ciri yang berikut:
 
  • Mengandungi entiti sebenar.
  • Jadual berdasarkan hubungan.
  • Pengasingan data dan aplikasi.
  • Kurang pertindihan.
  • Mempunyai ketekalan data.
  • Mempunyai bahasa pertanyaan.
  • Keselamatan.
  • Pelbagai paparan.
 
2.1.1  Kepentingan Integriti Data, Ketekalan Data Dan Kelewahan Data
 
1.  Pangkalan data merupakan 1 koleksi data yang disimpan dalam format piawaian (standard) dan direka khusus supaya mampu untuk berkongsi data dengan banyak pengguna secara efisien.
 
2.  Format piawaian membolehkan data disimpan dan dicapai kembali daripada mana-mana perkakasan dan sistem maklumat.
 
3.  Data yang disimpan dalam pagkalan data boleh digunakan kembali oleh pengguna yang berbeza melalui sistem yang berbeza bagi tujuan berlainan.
 
4.  Simpanan data dalam pangkalan data adalah efisien kerana format dan struktur data hubungan dikhususkan untuk simpanan sistematik dan capaian pantas secara fleksibel.
 
5.  Perkakasan komputer pelayan yang menyokong operasi pangkalan data, mempunyai spesifikasi tinggi bagi capaian kepada pangkalan tersebut.
 
6.  Pangkalan data dikhususkan untuk menyimpan data manakala tafsiran data sebagai maklumat yang disempurnakan oleh sistem-sistem komputer yang dihubungkan kepada pangkalan tersebut.
 
7.  Ciri-ciri data yang disimpan dalam pangkalan data mesti mencapai kualiti yang berikut:
 
  • Integriti data
  • Ketekalan data
  • Kelewahan data
 
Integriti Data (Data Integrity)
 
1.  Bermaksud kesempurnaan, ketetapan dan kesahan data (validation) serta merujuk ketepatan data yang sah melalui keseluruhan kitaran hayat data.
 
2.  Untuk memastikan integriti data, input bukan sahaja mesti tepat tetapi mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
 
Integriti entiti
 
  • Jadual mempunyai sekurang-kurangnya 1 atribut data yang unik bagi setiap rekod.
 
Integriti rujukan
 
  • Rekod-rekod dalam 2 jadual berbeza boleh dihubungkan melalui perkongsian atribut data yang sama.
 
Integriti domain
 
  • Atribut-atribut data dalam jadual mestilah betul dengan berasaskan suatu domain masalah.
 
Kepentingan integriti data:
 
  • Data yang lemah integriti mungkin korup atau hilang.
  • Data korup: Data yang terubah (secara tidak sengaja) daripada nilai asalnya.
  • Integriti data bertujuan untuk mengelakkan perubahan yang tidak sengaja kepada maklumat.
 
Ketekalan Data (Data Consistency)
 
1.  Ketekalan merujuk konsistensi ataupun keseragaman data yang akan mempengaruhi kebolehpercayaan data.
 
2.  Untuk memastikan ketekalan data, proses kemas kini salinan data di semua lokasi simpanan perlu dilakukan dengan rapi.
 
3.  Kepentingan ketekalan data:
 
  • Untuk memastikan data yang diperoleh boleh dipercayai dan tidak dipersoalkan.
  • Untuk memastikan tiada isu ketekalan data timbul seandainya data yang sama berulang di beberapa lokasi simpanan.
 
Kelewahan Data (Data Redundancy)
 
1.  Merujuk pertindihan data yang berpunca daripada salinan data yang berulang tetapi di lokasi yang berlainan.
 
2.  Kesan jika kelewahan data tidak diatasi:
 
  • Kelewahan menggunakan lebihan sumber simpanan komputer dan oleh itu kelewahan data perlu diminimumkan.
  • Kemas kini data yang lewah memakan banyak masa dan mungkin tidak menyeluruh.
  • Menyebabkan data menjadi korup.
  • Menjadikan pangkalan data tersebut kurang efisien.
 
3.  Tujuan mengelakkan kelewahan data:
 
  • Mengelakkan pertambahan saiz pangkalan data yang tidak perlu.
  • Mengelakkan data yang tidak konsisten.
  • Mengelakkan data menjadi korup iaitu tidak boleh digunakan lagi.
 
2.1.2  Model-model Pangkalan Data
 
1.  Model pangkalan data ialah penyusunan secara konseptual suatu pangkalan data dan merupakan 1 cara mentakrif dan menggunakan data dalam 1 pangkalan data.
 
2.  Model pangkalan data:
 
  • Hierarki
  • Rangkaian
  • Hubungan (relational)
  • Berorientasikan Objek (Object Oriented)
 
Model Pangkalan Data Hierarki
 
  • Model terawal semenjak tahun 1950 dan sering digunakan dalam sistem pengurusan maklumat keluaran Syarikat IBM.
  • Data disusun dalam struktur pokok.
  • Sesuai digunakan sekiranya suatu entiti mempunyai hubungan 1 induk (parent) dengan 1 atau lebih entiti anak (child).
  • Tidak menyokong hubungan banyak entiti induk kepada banyak anak.
  • Disebabkan itu, model ini tidak banyak digunakan.
  • Rekod data untuk setiap entiti dikodkan dalam organisasi hierarki.
  • Setiap entiti diwakili oleh grid dengan 2 bahagian di baris atas dan di baris bawah.
  • Bahagian atas menunjukkan nama atribut manakala bahagian bawah menunjukkan data untuk atribut tersebut.
  • Sebuah entiti boleh mempunyai 1 atau lebih atribut.
  • Dalam entiti dengan beberapa atribut, pilih atribut unik sebagai rujukan (dipanggil kekunci porimer).
  • Anak panah digunakan untuk menghubungkan rekod data mengikut susunan entiti.
  • Anak panah dilukis daripada 1 rekod data kepada 1 rekod data yang lain.
  • Anak panah ditujukan kepada atribut kunci primer dalam setiap rekod data.
 
Model Pangkalan Data Rangkaian
 
  • Terdiri daripada beberapa jenis rekod dan dihubungkn melalui penunjuk.
  • Mengatasi beberapa ketidakboleh tentuan dalam model hierarki.
  • Kelemahan model hierarki boleh diatasi melalu model rangkaian.
  • Untuk hubungan banyak induk ke banyak anak.
  • Sukar untuk menambahkan hubungan baru.
 
Model Hubungan (Relational)
 
  • Sering digunakan kerana mudah dibina, digunakan dan diuruskan dalam dunia yang sebenar.
  • Datanya disusun dalam jadual yang terdiri daripada lajur dan baris.
  • Kelebihan ialah struktur pangkalan data tidak perlu dinyatakan terlebih dahulu.
  • Model yang paling selalu digunakan antara model-model yang lain.
 
Model Pangkalan Data Berorientasikan Objek (Object Oriented)
 
  • Kaedah yang baharu dalam pengurusan data.
  • Menyimpan takrifan objek-objek yang boleh digunakan semula oleh perisian.
  • Menyimpan objek-objek dan hubungan.
  • Mempunyai ciri yang sama dengan model rangkaian iaitu dapat mewakilkan data untuk hubungan banyak-ke-banyak.
 
Konsep orientasi objek:
 
  • Kelas (class) – menggambarkan keadaan entiti objek sebenar.
  • Atribut (attributes) – data yang mewakili sifat-sifat objek.
  • Kaedah (method) – menjelaskan kelakuan bagi objek dan juga dikenali sebagai prosedur atau fungsi.
 
  • Objek di dalam kelas dikenali sebagai kejadian kelas (class instances).
  • Setiap kejadian kelas mempunyai nilai data yang tersendiri bagi setiap atribut tetapi masih boleh berkongsi nama atribut dan kaedah yang sama dengan kejadian kelas yang lain.
 
2.1.3  Entiti, Atribut, Set Hubungan Dan Kekerdinalan Dalam Pangkalan Data
 
1.  Pangkalan data dibangunkan untuk sistem maklumat yang berada dalam pelbagai persekitaran.
 
2.  Persekitanan ialah organisasi di mana pangkalan data direka bentuk, dibangunkan dan digunakan.
 
3.  Komponen pangkalan data:
 
  • Entiti
  • Atribut
  • Set hubungan
  • Kekardinalan
 
4.  Reka bentuk pangkalan data diperlukan untuk menghasilkan 1 atau lebih banyak jadual hubungan.
 
5.  Setiap jadual hubungan mewakili 1 jenis entiti dan mengandungi 1 atau lebih rekod.
 
6.  Setiap rekod ialah 1 kejadian entiti dan mengandungi sekumpulan nilai atribut.