Sumber Semula Jadi Utama dan Kerjasama Ekonomi Dunia

09 Sumber Semula Jadi Utama dan Kerjasama Ekonomi Dunia
 
Sumber Tenaga Utama di Dunia
 

Sumber tenaga terbahagi kepada sumber tenaga bahan bakar dan sumber tenaga alternatif.

 
Sumber tenaga bahan bakar Negara
Petroleum Arab Saudi
Gas asli Amerika Syarikat
Arang Batu Rusia
 
Sumber tenaga alternatif Negara
Ombak Perancis
Angin Belanda
Geoterma Iceland
Air China
Suria Jepun
Biomas Indiia
 

Krisis Sumber Semula Jadi di Dunia

Eksploitasi dan penerokaan sumber secara berterusan dan tidak terancang mengakibatkan kuantiti sumber semula jadi di dunia semakin berkurangan.

Krisis sumber semula jadi dalam aspek ekonomi, politik, masyarakat dan alam sekitar adalah seperti berikut:

 
Ekonomi

Pendapatan negara pengeksport dan pengimport tidak menentu ekoran kekurangan sumber dan kenaikan harga komoditi.

Kenaikan harga sumber seperti petroleum dan gas asli dalam pasaran dunia.

Peningkatan kos sara hidup disebabkan oleh nilai mata wang menurun, pendapatan negara merosot dan kuasa beli yang lemah.

Politik

Perebutan kawasan yang mempunyai sumber semula jadi antara beberapa buah negara sehingga membawa kepada konflik wilayah.

Tekanan politik ke atas negara-negara pengeluar sumber.

Berlaku konflik politik dalam sesebuah negara ekoran timbulnya pelbagai krisis ekonomi.

Masyarakat

Peningkatan kadar kemiskinan.

Peningkatan kadar kebuluran.

Wujud pelbagai masalah sosial dalam masyarakat.

Alam sekitar

Kemerosotan kualiti alam sekitar.

Kemusnahan pelbagai flora dan fauna.

Berlaku ketidakseimbangan alam sekitar dan ekosistem.

Sumber semula jadi semakin berkurangan.

 
Contoh Kerjasama Ekonomi Antarabangsa
 

Diwujudkan atas dasar ingin membantu sesama negara dalam bidang ekonomi.

Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara atau Association of Southeast Asian Nations (ASEAN)

  • Kerjasama ekonomi serantau yang ditubuhkan pada tahun 1967
  • Dianggotai oleh 10 buah negara Asia Tenggara, iaitu Thailand, Malaysia,   Singapura, Indonesia,  Vietnam, Myanmar, Filipina, Kemboja, Brunei Darussalam dan Laos  
  • Menggalakkan kerjasama dalam pelbagai bidang antara negara anggota seperti pendidikan, pelancongan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D)

Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Singapura

  • Kerjasama segi tiga pertumbuhan IMS-GT yang ditubuhkan pada tahun 1992
  • Meliputi kawasan Kalimantan Barat,  Wilayah Riau, Sumatera Selatan, Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Singapura
  • Menggalakkan kerjasama dalam bidang ekonomi seperti pelaburan, perdagangan, perindustrian, pertanian, perikanan dan pelancongan

Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand

  • Kerjasama segi tiga pertumbuhan IMT-GT yang ditubuhkan pada tahun 1994
  • Dianggotai oleh 10 buah wilayah di Sumatera, lapan buah negeri di Semenanjung Malaysia (Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak, Melaka, Selangor dan Pulau Pinang) dan 14 buah wilayah di selatan  Thailand
  • Bidang fokus utama ialah pertanian dan industri asas tani, pelancongan, produk halal dan perkhidmatan

Kesatuan Eropah atau European Union (EU)

  • Komuniti Ekonomi Eropah atau kini dikenali sebagai Kesatuan Eropah yang ditubuhkan pada tahun 1958
  • Dianggotai 28 buah negara, iaitu Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Hungary, Ireland, Itali, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Malta, Netherlands (Belanda), Poland, Portugal, Romania, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom
  • Perniagaan dan perdagangan bebas antara negara EU tanpa had kuantiti import dan eksport

Pertubuhan Ekonomi Negara-negara Asia Pasifik atau Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC)

  • Kerjasama ekonomi serantau yang ditubuhkan pada tahun 1989
  • Keanggotaan melibatkan China, Amerika Syarikat, Vietnam, Jepun, Rusia, Filipina, Indonesia, Korea Selatan, Peru, Singapura, Australia, Hong Kong, Thailand, Kanada, Malaysia, Mexico, New Zealand, Chile, Taipei, Brunei Darussalam dan Papua New Guinea
  • Menggalakkan perdagangan bebas dan pelaburan dalam kalangan negara anggota
 

Contoh Kerjasama Ekonomi antara Malaysia dengan Negara Lain Berkaitan Sumber Semula Jadi

Import

  • Kerjasama ekonomi dunia yang bersifat dua hala membolehkan negara Malaysia mengimport sumber semula jadi dari negara luar yang menjadi rakan dagang Malaysia.

Eksport

  • Malaysia menjadi pengeksport utama sumber semula jadi kepada beberapa buah negara yang menjadi rakan dagang.
 
Kepentingan Kerjasama Ekonomi Antarabangsa
 

Mendapatkan bekalan buruh asing

  • Mempermudah kemasukan tenga buruh asing dari sesebuah negara ke negara lain untuk menampung keperluan tenaga buruh dalam pelbagai sektor seperti sektor pertanian, perladangan, perkilangan, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan
  • Tenaga buruh profesional seperti pengurus, jurutera dan doktor perubatan kebanyakannya berasal dari negara maju
  • Tenaga buruh yang kurang mahir kebanyakannya berasal dari negara membangun

Menggalakkan pemindahan teknologi

  • Menggalakkan pemindahan teknologi terutamanya antara negara maju dengan negara membangun melalui beberapa cara, iaitu:
  • Pembelian terus barangan modal – Melalui pembelian mesin, jentera serta peralatan lain dari luar negara
  • Pembelian ekuiti – Syarikat asing memiliki ekuiti atau saham dalam syarikat tempatan dan melatih pekerja-pekerja tempatan dalam syarikat tersebut
  • Perjanjian pelesenan – Syarikat tempatan menjadi pengedar produk keluaran syarikat asing
  • Peraturan paten dan cap dagang – Syarikat tempatan mengeluarkan produk keluaran syarikat asing dengan menggunakan jenama yang sama
  • Aliran sumber manusia – Pekerja atau pakar asing dibawa masuk ke dalam negara dan memberikan latihan sambil bekerja untuk pekerja tempatan

Meningkatkan pelaburan

  • Menggalakkan pelaburan dalam negara untuk dijadikan modal bagi memulakan sesuatu kegiatan ekonomi
  • Terdapat dua jenis pelaburan, iaitu pelaburan ekuiti dan pelaburan langsung asing atau Foreign Direct Investment (FDI)
  • FDI melibatkan pembukaan operasi syarikat asing seperti syarikat kereta, telekomunikasi serta barangan elektrik dan elektronik di Malaysia Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, China dan Singapura melabur di Malaysia dalam sektor elektrik dan elektronik, industri besi dan keluli, industri minyak dan gas serta sektor perkhidmatan

Memperoleh bahan mentah

  • Membolehkan sesebuah negara memperoleh bekalan bahan mentah dari rakan dagang untuk kegunaan domestik dan industri melalui import
  • China mengimport petroleum mentah dari beberapa buah negara seperti Arab Saudi, Oman, Iraq dan Rusia
  • Mexico dan Kanada merupakan antara negara utama yang mengimport gas asli dari Amerika Syarikat

Membentuk hubungan perdagangan

  • Membuka peluang antara negara untuk menjalinkan hubungan perdagangan serta mendapat keistimewaan seperti pengecualian cukai, pengurangan tarif kuota dan embargo
  • Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau Ministry of International Trade and Industry (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia atau Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) adalah agensi yang menguruskan perdagangan di Malaysia

Meluaskan pasaran

  • Membolehkan negara-negara yang bekerjasama untuk meluaskan pasaran eksport barangan keluaran negara masing-masing
  • Brazil mengeksport kayu balak ke beberapa buah negara seperti India, China, Vietnam dan Singapura
  • Rusia mengeksport arang batu ke negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun, China dan Turki