Pengurusan Masa Berkesan Untuk Guru

Pengurusan Masa Berkesan Untuk Guru

Share this post

PENGENALAN

  • Pengurusan masa bermaksud sesorang mampu menguruskan masa secara berkesan bagi melakukan aktiviti harian dan merasa puas hati dengan apa yang telah dilakukan.
  • Pengurusan masa amat penting bagi membantu seseorang mengurus dan mengendalikan masa dengan bijak dan bertanggungjawab. 
  • Pengurusan masa yang berkesan merupakan ciri penting di dalam gaya hidup yang sihat. Menguruskan masa berkesan melibatkan penggunaan peralatan dan kaedah atau teknik untuk merancang dan menjadualkan masa dengan sesuai dan tepat. 
  • Peralatan dan teknik tersebut bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan masa seseorang. 
 

DEFINISI PENGURUSAN MASA BERKESAN

Pengurusan masa berkesan merujuk kepada cara menguruskan masa dengan baik agar seseorang dapat mencapai matlamat dengan berjaya. Jika seseorang pandai mengurus dan menggunakan masa dengan baik, sudah tentu seseorang dapat melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang diamanahkan serta kerja-kerja lain dengan cemerlang.

 

KEPENTINGAN PENGURUSAN MASA BERKESAN

Mengurus masa berkesan amat penting kerana jika seseorang gagal menguruskan masa dengan bijak, akan terdapat perkara-perkara berikut yang mungkin berlaku. Antaranya ialah:

  1. Membazir banyak masa yang berfaedah. 
  2. Menjadi tidak produktif, 
  3. Mendapat stress, 
  4. Menjadi cemas dan bimbang, 
  5. Bertambah gusar dan mudah marah, dan,
  6. Seseorang akan gagal menyiapkan apa-apa tugasan pada masa yang ditetapkan.

 

Di sebaliknya pula, jika seseorang bijak mengurus masa dengan cekap dan baik akan:

  1. Dapat meningkatkan kecemerlangan diri, 
  2. Dapat membentuk disiplin diri yang terpuji, 
  3. Mampu membuatkan seseorang menyusun aktiviti yang ingin dilakukan dengan cara terancang, dan,
  4. Dapat memanfaatkan masa sebaiknya dan dapat memupuk sifat menepati masa serta hasil kerja yang dilaksanakan nanti akan lebih berkualiti. 
  5. Dapat membahagi masa dengan lebih tersusun dan mampu menjadi seseorang itu patuh pada peraturan yang ditetapkan. Sebagai contoh, seorang guru perlu merancang pngajaran dan pembelajaran (PdP) yang hendak diajar dengan betul sebelum mengajar pada keesokan harinya.
 

KESAN KEGAGALAN MENGURUS MASA YANG BERKESAN

 

Antara kesan yang akan diperoleh jika seseorang itu gagal menguruskan masa dengan berkesan ialah:

  1. Banyak kerja yang dirancang tidak dapat diselesaikan dan dengan itu banyak kerja yang lain terpaksa ditangguhkan. Hal ini akan menambahkan bebanan kepada seseorang itu dan juga akan melibatkan orang lain jika bekerja dalam sesebuah organisasi.
  2. Sesorang akan menghadapi tekanan jika mendapati kerja yang sepatutnya diselesaikan mengikut masa yang ditetapkan tidak dapat dipatuhi. 
 

KAEDAH MENGURUS MASA BERKESAN

Terdapat beberapa kaedah mengurus masa agar tidak terbuang begitu saja. Misalnya:

  1. Senaraikan semua aktiviti yang dijalankan dalam satu hari.
  2. Susun atur aktiviti berdasarkan kepentingannya.
  3. Elakkan menyenarai aktiviti yang tidak berfaedah.
  4. Agihkan masa dalam sehari untuk setiap aktiviti.
  5. Buat satu jadual untuk aktiviti anda dengan masa yang diperuntukkan.
  6. Disiplinkan diri melakukan semua aktiviti yang telah anda tetapkan.
  7. Jika berjaya dalam sehari, cuba buat jadual aktiviti dalam masa seminggu 

 

CONTOH PELAKSANAAN  MASA INSTRUKSIONAL BERKESAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PdP) GURU 

Secara amnya, guru memegang tugas dan tanggung jawab yang amat pelbagai di sekolah mengikut situasi sekolah yang guru berada.  Contohnya, seorang guru akan terlibat memegang tugas yang berkaitan dengan kurikulum, hal-ehwal murid dan kokurikulum serta lain-lain seperti setiausaha jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bendahari PIBG dan lain-lain. Hal ini, menjejaskan tugas dan tanggung jawab hakiki guru sebagai seorang pendidik. Guru tidak dapat merancang dan menyediakan PdPnya dengan baik dan teratur. Kesannya akan mengakibatkan proses PdP guru yang dilaksanakan gagal dan tidak mencapai objektif.

Walau bagaimanapun, guru boleh menguruskan masa instruksional PdP dengan semaksimumnya dan berkesan dalam bilik darjah. Panduan  berikut boleh membantu guru melaksanakan masa instruksional PdP berkesan seperti yang dikehendaki.  Panduan ini boleh dibahagikan mengikut masa PdPc 60 minit dan 30 minit. Panduan ini boleh dibahagikan mengikut masa PdPc 60 minit dan 30 minit.

Panduan berikut dibahagikan mengikut masa instruksional PdP yang meliputi masa 60 minit dan 30 minit.

Contoh panduan ini adalah seperti berikut: 

 

CONTOH 1: 

MASA INSTRUKSIONAL PdP BERKESAN GURU UNTUK 60 MINIT

 

0-7 minit:

Semasa ini berlaku transisi antara kelas. Guru perlu bergerak dari satu kelas ke satu kelas atau pun dari bilik guru. Apabila guru sampai di kelas guru hendaklah memastikan semua murid berada dalam keadaan bersedia seperti menyediakan buku, rujukan dan peralatan berkaitan, menyusun kerusi atau beralih tempat. Guru juga boleh menggunakan masa ini untuk menyemak keberadaan semua murid. Guru juga boleh bersedia dengan bahan ABM/BBM/TMK.

3 minit seterusnya

Guru menggunakan masa ini untuk menyemak kerja rumah murid, buat pop Kuiz atau memberi peluang kepada murid menyiapkan bahan seperti(lembaran kerja / tugasan yang telah diagihkan.  

 

Set Induksi. 

10 minit:
Guru menggunakan 10 minit sebagai set induksi untuk  membincang objektif pembelajaran, menyemak pengetahuan sedia ada murid dan juga memberi penerangan asas tentang konsep yang ingin dipelajari. Penerangan harus bersifat ringkas, formula atau fakta asas. Sesi bersoal jawab boleh berlaku untuk mengetahui sejauh mana murid memahami tetapi penilaian masih belum boleh dilaksanakan lagi.

20 minit:
Pada peringkat ini, aktiviti berkumpulan dilaksanakan. Murid diberikan tugasan, mereka berbincang secara berkumpulan dan menghasilkannya. Guru bergerak untuk memberikan bimbingan. Guru perlu ada sumber rujukan yang khusus contohnya buku teks, bahan bacaan, kamus, kalkulator atau peranti untuk melayari internet. Hal ini dapat melancarkan proses perbincangan dengan lebih cepat. Guru membimbing murid dengan membahagikan tugas dan peranan berbeza bagi setiap ahli kumpulan agar tugas dapat dilaksanakan dengan baik dalam masa yang ditetapkan. Dalam masa ini juga berlaku pembentangan kumpulan dan ulasan guru. Pada masa ini, pentaksiran bilik darjah boleh dilaksanakan iaitu melalui kaedah pemerhatian dan lisan. Guru mencatat bila perlu dan mendengar  dengan teliti hasil perbincangan murid. 

10 minit: 

Guru perlu menggunakan masa ini untuk aktiviti individu. Murid membuat latihan untuk mempamerkan pemahaman mereka. Dengan itu, penilaian akan berlaku dengan lebih baik dan tepat. Penilaian bertulis murid dilaksanakan. 

5 minit:
Waktu ini digunakan untuk sesi penutup. Guru boleh berikan Exit Ticket yang berbentuk refleksi murid, ujian ringkas atau cadangan murid. Aktiviti Sesi Parking Lot juga boleh dilaksanakan.

5 minit terakhir:
Masa ini diperuntukkan untuk menampung mana-mana peringkat di atas yang tidak mempunyai masa yang cukup. Jika semua peringkat mengikut tempoh masa yang dirancang, guru boleh menggunakan masa ini untuk aktiviti tambahan, seperti menyiapkan kerja rumah, menyemak hasil kerja murid yang selebihnya atau beri ruang untuk murid buat persediaan bagi kelas seterusnya.

 

CONTOH 2: 

MASA INSTRUKSIONAL PdP BERKESAN GURU UNTUK 30 MINIT

 

0-7 minit:

Kebiasaannya, semasa ini berlaku transisi antara kelas. Guru perlu bergerak dari satu kelas ke satu kelas atau pun dari bilik guru. Apabila guru sampai ke kelas guru harus pastikan semua murid berada dalam keadaan bersedia seperti menyediakan buku, rujukan dan peralatan berkaitan, menyusun kerusi atau beralih tempat. Guru menggunakan masa ini juga untuk menyemak keberadaan semua murid. Guru juga boleh bersedia dengan bahan ABM/BBM/TMK.

3 minit seterusnya:
Guru boleh menggunakan masa ini untuk menyemak kerja rumah murid, buat pop Kuiz atau memberi peluang kepada murid membuat persiapan tugasan yang diberikan. Set Induksi juga berlaku pada ketika ini. 

15 minit:
Guru  melaksanakan aktiviti ringkas dalam masa 15 minit. Contohnya, Kuiz, Soal Jawab, Peta Minda, Wordwall, Jamboard, Idea Rush, Baloon Buster atau Padlet. Guru boleh melaksanakan aktiviti secara individu, berkumpulan atau kedua-duanya atau melaksanakan aktiviti koperatif mengikut kesesuaian.

5 minit terakhir:
Masa di peringkat ini boleh digunakan untuk menampung mana-mana bahagian yang tidak cukup masa. Jika semua bahagian mengikut tempoh masa yang dirancang, maka peringkat ini boleh  digunakan untuk aktiviti tambahan, seperti menyiapkan kerja rumah, menyemak hasil kerja murid yang selebihnya atau beri ruang untuk murid buat persediaan bagi kelas seterusnya.

 

Berikut dikongsikan juga beberapa tips bagi melancarkan masa instruksional PdP berkesan guru secara maksimum:

  1. Pastikan jam dinding dalam kelas berfungsi.  Tujuannya ialah untuk memudahkan guru dan murid menyemak masa.
  2. Gunakan timer jika perlu.
  3. Guru hendaklah memberi keistimewaan sekali sekala kepada kumpulan murid yang dapat menyudahkan tugasan paling awal. Contohnya, beri merit sebagai reward kepada mereka.
  4. Laksanakan aktiviti contoh, Flipped Learning agar murid sudah bersedia dan mempunyai pengetahuan asas sebelum masuk dalam kelas.

(Adaptasi : Pengurusan Masa PdPc)

http://mudahmengajar.blogspot.com

 

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, pengurusan masa berkesan amat penting dalam kehidupan guru-guru sekolah. Guru perlu bijak menggunakan masa dengan  berkesan supaya dapat memupuk kesepaduan disiplin tanpa tekanan. Selain itu, guru boleh melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang diamanahkan dengan efisien dan selesa.


 

 

Rujukan:

  1. Pengurusan Masa PdPc http://mudahmengajar.blogspot.com

 

 

Tag Profesionalisme

Prior knowledge

1.  Bagaimanakah anda mengurus masa berkesan berkaitan profesion anda sekarang?
2.  Senaraikan kepentingan pengurusan masa berkesan yang anda ketahui?

1. 

Apakah perkara yang diterangkan dalam penulisan yang dikongsikan ini?

Reflection

1.  Huraikan secara ringkas bagaimana anda menguruskan masa berkesan yang telah dikongsikan.
Loading...
Load lesson