Hasil Kerajaan
Semua jenis pendapatan yang diterima oleh kerajaan bagi membiayai perbelanjaan negara.
Cukai Langsung ialah cukai yang beban cukainya tidak boleh dipindahkan kepada pihak lain. Contohnya cukai pendapatan individu, cukai pendapatan syarikat, cukai pendapatan koperasi, cukai pendapatan petroleum, cukai keuntungan hartanah, duti setem, cukai tanah, dan cukai pintu.
Cukai Tak Langsung ialah cukai yang beban cukainya boleh dipindahkan kepada pihak lain, sebahagian atau sepenuhnya melalui kenaikan harga barang. Contohnya duti eksais, duti import, duti eksport, cukai barang dan perkhidmatan (GST), cukai perjudian, dan levi.
Hasil Bukan Cukai merangkumi bayaran lesen dan permit, bayaran denda dan penalti, faedah dan pulangan pelaburan kerajaan, bayaran sewa, dividen, royalti petroleum dan gas asli, pemberian kerajaan luar negara dan agensi antarabangsa, serta dividen daripada saham dan GLC.
Kesan Bentuk Cukai atas Agihan Pendapatan
Cukai progresif kadarnya semakin tinggi apabila pendapatan bertambah. Golongan berpendapatan tinggi membayar kadar dan jumlah cukai lebih tinggi; ini membantu merapatkan jurang agihan pendapatan masyarakat.
Cukai regresif kadarnya semakin menurun apabila pendapatan bertambah. Beban cukai lebih berat ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah berbanding golongan kaya kerana perkadaran cukai berbanding pendapatan adalah lebih tinggi.
Cukai berkadar malar kadarnya tetap sama walaupun tingkat pendapatan berubah.