Contoh Sifat Tawaduk yang Diamalkan oleh Rasulullah SAW |
Rasulullah SAW menunjukkan sifat tawaduk ketika bergaul, terutama dengan kanak-kanak. Walaupun mempunyai kedudukan yang mulia, baginda tidak sombong dengan kedudukannya. Sebaliknya baginda menghormati dan menyayangi kanak-kanak. Baginda sentiasa bersikap lemah lembut dan menunjukkan kasih sayang terhadap mereka. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW selalu menyantuni kanak-kanak dengan mendahulukan ucapan salam ketika bertemu dan membelai rambut mereka dengan perasaan kasih sayang. (Riwayat Bukhari) |
Tawaduk dalam Kehidupan Rumah Tangga |
Rasulullah SAW menunjukkan sifat tawaduk ketika bersama-sama dengan keluarga. Baginda bersama-sama membantu isteri melayani keluarga dan menguruskan rumah tangga. 'Urwah bin Zubair RA berkata: Seseorang bertanya kepada Saidatina Aisyah RA, "Adakah Rasulullah SAW bekerja di dalam rumah baginda?" Lalu Saidatina Aisyah menjawab, "Rasulullah menampal selipar, menjahit pakaian dan melaksanakan tanggungjawab dalam rumah tangga sepertimana yang dilakukan oleh orang lain". |
Tawaduk Ketika Makan dan Minum |
Rasulullah menunjukkan sifat tawaduk ketika makan dan minum. Baginda tidak pernah mencela makanan yang disediakan untuk baginda. Jika baginda menyukai makanan tersebut, baginda akan memakannya. Apabila baginda tidak menyukainya, baginda meninggalkannnya. Baginda tidak menzahirkan perasaannya, sebaliknya hanya berdiam. |
|