Permainan Berasaskan Pembelajaran untuk topik Bentuk Geometri Tiga Dimensi: HekSaGogi

Permainan Berasaskan Pembelajaran untuk topik Bentuk Geometri Tiga Dimensi: HekSaGogi

Share this post

HekSaGogi adalah satu inovasi dalam permainan yang dibangunkan oleh penyelidik bersama pelajar (TUAN NURSYAZA ATIQAH BINTI TUAN NORDIN ). Ia adalah berdasarkan kepada topik matematik tingkatan 2 iaitu Bab 6 : Bentuk Geometri Tiga Dimensi iaitu 6.1 Sifat Geometri Bentuk Tiga Dimensi.

 

Permainan HekSaGoji ini adalah hasil inovasi daripada permainan Scrabble. Namun, permainan HekSaGoji telah diberi suntikan inovasi bagi menjadikannya lebih sesuai untuk murid tingkatan 2 bermain bagi mencapai objektif dan standard pembelajaran yang telah ditetapkan. Permainan HekSaGoji ini dinamakan sempena dengan bentuk papan permainan yang berbentuk heksagon yang mempunyai 6 sisi. Pada papan permainan tersebut, mempunyai pelekat emoji yang mempunyai empat warna yang berbeza dan daripada itu, terbentuklah nama HekSaGoji ini. 

Satu set permainan HekSaGoji mengandungi, 1 papan permainan yang berbentuk heksagon, 5 rak huruf, 1 beg huruf, 100 keping jubin huruf, 28 kad, dan modul penggunaan bagi cara-cara bermain. Bagi permainan ini, murid perlu dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada 5 orang ahli (maksimum) bagi setiap kumpulan. 

Dalam permainan ini, saya meletakkan pelekat emoji yang mempunyai 4 warna berbeza pada papan permainan, iaitu warna kuning untuk konsep, biru untuk nota, hijau sebagai contoh soalan dan oren untuk soalan latihan sebanyak tujuh emoji bagi satu warna. Apabila murid mula bermain dan membuat perkataan menggunakan huruf-huruf yang mereka ambil, mereka perlu mendapatkan kad-kad yang mempunyai warna emoji yang sama.  

Untuk kad, ianya mempunyai pelekat bintang di bahagian atas kad yang mempunyai empat warna yang berbeza mengikut warna pelekat emoji tadi iaitu terdiri daripada bintang kuning untuk konsep subtopik ini, bintang biru untuk nota, bintang hijau untuk contoh soalan dan bintang oren untuk soalan yang mempunyai 3 peringkat markah dan tahap kesukaran iaitu 2 markah untuk mudah, 3 markah untuk sederhana dan 4 markah untuk KBAT. Sekiranya murid mendapat emoji yang berwarna biru dan kuning, murid perlu mengambil kad yang berwarna sama dan yang mempunyai pelekat bintang berwarna biru dan kuning juga. 

Permainan ini sebenarnya dapat membantu murid untuk lebih memahami perbandingan, pembezaan dan mengklasifikasikan bentuk tiga dimensi termasuk prisma, piramid, silinder, kon dan sfera, dan seterusnya menghuraikan sifat geometri prisma, piramid, silinder, kon dan sfera iaitu dengan membaca dan menjawab soalan yang terdapat pada kad yang disediakan. 

Seterusnya, permainan ini juga dapat meningkatkan perbendaharaan kata dengan memikirkan perkataan untuk diletakkan pada papan permainan bagi mendapatkan kad dan memperoleh mata dengan menjawab soalan serta dapat meningkatkan pengetahuan mereka. Selain itu, murid akan dapat memahami dan menghafal dengan cepat semasa bermain permainan ini kerana dalam permainan ini ianya mempunyai empat kad yang berbeza iaitu terdiri daripada konsep subtopik ini iaitu 6.1, nota, contoh soalan dan soalan. Jika murid mendapat kad yang mempunyai konsep dan nota, mereka boleh merujuk kad-kad tersebut untuk menjawab soalan yang berkaitan. 

Antara kesan ataupun efektif daripada bermain permainan ini adalah murid dapat meningkatkan kognitif, sosial, tingkah laku, dan emosi semasa bermain sambil belajar dalam permainan ini. Misalnya, murid perlu berfikir dengan kreatif untuk memikirkan perkataan dan penyusunan perkataan untuk diletakkan pada papan permainan bagi mendapatkan kad dan markah. 

 

Contoh soalan dan soalan yang terdapat di dalam permainan ini dibuat dengan merujuk buku dan laman web. Soalan-soalan ini mempunyai markah dan tahap kesukaran yang berbeza bagi menguji murid mengenai pengetahuan dan isi kandungan subtopik ini. Permainan ini dapat memberi faedah yang baik kepada murid dengan cara yang kreatif dan mereka dapat mengetahui konsep serta pencerahan yang berkaitan dengan geometri tiga dimensi ini dengan cara bermain sambil belajar. Sebagai contoh, soalan yang merangkumi 2 markah adalah yang paling mudah di antara semua soalan iaitu mengenai konsep asas geometri contohnya, bentuk apakah yang mempunyai satu tapak rata, satu puncak, dan satu permukaan melengkung? Jawapan akhir diberikan di bahagian bawah kad. 

Murid hanya diperuntukkan 2 minit sahaja bagi memikirkan dan membentuk perkataan pada papan permainan. Manakala 3 minit bagi menjawab soalan (jika mendapat kad berwarna oren yang juga mempunyai pelekat bintang oren di bahagian atas sahaja). Murid yang mendapat mata paling banyak iaitu dengan menjawab soalan dengan betul, murid tersebut akan dinobatkan sebagai juara. 

Kesimpulannya, permainan ini dapat memberikan kesan yang baik kepada murid dan yang paling penting adalah dapat mencapai objektif pembelajaran. Permainan HekSaGoji adalah permainan santai dan menyeronokkan untuk dimainkan di dalam kelas serta bermain bersama rakan-rakan sekelas.

 

 

 

Tag sekolah menengah Permainan Dalam Matematik

Prior knowledge

1.  Permainan ini dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu?
2.  Topik matematik tingkatan berapa?

1. 

Bentuk apakah yang mempunyai satu tapak rata, satu puncak, dan satu permukaan melengkung?

Reflection

1.  Adakah permainan ini merangkumi satu topik 3 dimensi?
2.  Adakah permainan ini lebih kurang sama dengan permainan scrabble?
Loading...
Load lesson