Cara Membina Pendahuluan Karangan Tidak Berformat dengan Formula 4W/1A

Cara Membina Pendahuluan Karangan Tidak Berformat dengan Formula 4W/1A

Share this post

PENDAHULUAN
Pendahuluan ialah titik tolak kepada karangan yang ingin dibina. Pendahuluan menceritakan latar belakang tajuk karangan yang diperoleh. Selain kekurangan idea untuk membina pendahuluan karangan, pelajar juga sering membuat kesalahan dengan memasukkan isi-isi penting dalam pendahuluan. Oleh itu, formula 4W/1A akan membantu pelajar untuk menjana idea dan mengelakkan diri mereka dari memasukkan isi-isi penting ke dalam pendahuluan. 

4W/1A
Formula 4W/1A ialah formula yang digunakan untuk membina lima ayat dalam pendahuluan karangan. Empat ayat daripadanya dibina dengan menggunakan kata tanya, iaitu ‘what’ (apa), ‘where’ (mana), ‘when’ (bila) dan ‘who’ (siapa). Manakala, satu ayat lagi ialah ayat arahan. Ayat arahan ialah ayat yang diambil daripada soalan karangan. Contoh di bawah merupakan rangka membina pendahuluan karangan dengan menggunakan formula 4W/1A:

Ayat 1 – What (apa): 
Ayat 2 – Where (mana):
Ayat 3 – When (bila):
Ayat 4 – Who (siapa):
Ayat 5 – Ayat tajuk:

Kata tanya ‘how’ (bagaimana) dan ‘why’ (mengapa) tidak boleh dimasukkan dalam formula ini kerana dikhuatiri soalan karangan yang diperoleh pelajar menghendaki mereka untuk menyatakan langkah-langkah atau punca-punca sesuatu perkara. Hal ini dikatakan demikian kerana kata tanya ‘how’ (bagaimana) dan ‘why’ (mengapa) merujuk kepada langkah-langkah atau punca-punca. Jika kata tanya ‘how’ (bagaimana) dan ‘why’ (mengapa) dimasukkan dalam formula, secara tidak langsung, pelajar akan membuat kesilapan dengan memasukkan isi-isi penting karangan dalam pendahuluan. 

 

CONTOH MEMBINA PENDAHULUAN KARANGAN

Soalan Karangan

Saban tahun, pihak polis sering menerima laporan tentang kemalangan jalan raya yang tidak berpenghujung. Keadaan ini telah membimbangkan semua pihak, terutamanya kerajaan. Oleh itu, bincangkan punca-punca kemalangan jalan raya di Malaysia. 

 

Langkah 1: 

Pelajar dikehendaki untuk mengenal pasti arahan dan kata kunci utama dalam soalan. Berdasarkan pembacaan, soalan mengarahkan pelajar membincangkan punca-punca. Manakala, kata kunci utamanya ialah kemalangan jalan raya

 

Langkah 2: 

Pelajar dikehendaki untuk membina ayat pertama pendahuluan dengan menggunakan kata tanya ‘what’ atau ‘apa’. Kata tanya ‘what’ atau ‘apa’ ialah kata yang digunakan untuk menanyakan sesuatu benda atau perkara. Oleh itu, dalam hal ini, pelajar dikehendaki untuk menyatakan maksud kata kunci soalan iaitu, maksud kemalangan jalan raya. Ayat di bawah merupakan contoh binaan ayatnya.

Ayat 1: Kemalangan jalan raya ialah kecelakaan yang berlaku di atas jalan raya tanpa diduga. 

 

Langkah 3: 

Pelajar dikehendaki untuk membina ayat kedua pendahuluan dengan menggunakan kata tanya ‘where’ atau ‘mana’. Kata tanya ‘where’ atau ‘mana’ ialah kata yang digunakan untuk menanyakan tempat sesuatu benda atau perkara. Oleh itu, pelajar dikehendaki untuk menyatakan tempat berlakunya kemalangan jalan raya. Ayat di bawah merupakan contoh binaan ayatnya.

Ayat 2: Kemalangan jalan raya boleh berlaku di mana-mana sahaja, terutamanya di lebuh raya, simpang dan cerun bukit.

 

Langkah 4: 

Pelajar dikehendaki untuk membina ayat ketiga pendahuluan dengan menggunakan kata tanya ‘when’ atau ‘bila’. Kata tanya ‘when’ atau ‘bila’ ialah kata yang digunakan untuk menanyakan masa atau tempoh sesuatu benda atau perkara. Oleh itu, pelajar dikehendaki untuk menyatakan masa atau tempoh berlakunya kemalangan jalan raya. Ayat di bawah merupakan contoh binaan ayatnya.
Ayat 3: Bukan itu sahaja, kemalangan jalan raya juga boleh berlaku tidak mengira masa, lebih-lebih lagi pada musim perayaan dan waktu puncak.

 

Langkah 5: 

Pelajar dikehendaki untuk membina ayat keempat pendahuluan dengan menggunakan kata tanya ‘who’ atau ‘siapa’. Kata tanya ‘who’ atau ‘siapa’ ialah kata yang digunakan untuk menanyakan orang. Oleh itu, pelajar dikehendaki untuk menyatakan orang yang terlibat dengan kemalangan jalan raya. Ayat di bawah merupakan contoh binaan ayatnya.

Ayat 4: Kemelut ini telah meragut banyak nyawa insan yang tidak bersalah seperti warga tua, bayi dan ramai lagi. 

 

Langkah 6: 

Pelajar dikehendaki untuk membina ayat kelima pendahuluan dengan menggunakan ayat arahan. Ayat arahan ialah ayat yang dibina berdasarkan arahan pada soalan yang diberikan. Berdasarkan pembacaan, soalan mengarahkan pelajar membincangkan punca-punca kemalangan jalan raya. Oleh itu, pelajar dikehendaki untuk menyatakan arahan tersebut. Ayat di bawah merupakan contoh binaan ayatnya.

Ayat 5: Oleh itu, terdapat pelbagai punca kemalangan jalan raya yang perlu dikenal pasti. 

 

Ayat-ayat di bawah merupakan contoh binaan pendahuluan karangan yang lengkap.
 
Kemalangan jalan raya ialah kecelakaan yang berlaku di atas jalan raya tanpa diduga. Kemalangan jalan raya boleh berlaku di mana-mana sahaja, terutamanya di lebuh raya, simpang dan cerun bukit. Bukan itu sahaja, kemalangan jalan raya juga boleh berlaku tidak mengira masa, lebih-lebih lagi pada musim perayaan dan waktu puncak. Kemelut ini telah meragut banyak nyawa insan yang tidak bersalah seperti warga tua, bayi dan ramai lagi. Oleh itu, terdapat pelbagai punca kemalangan jalan raya yang perlu dikenal pasti.
 

 

 

Tag Sekolah Rendah sekolah menengah karangan tidak berformat pendahuluan

Prior knowledge

1.  Apakah kaedah yang sesuai untuk membantu pelajar membina pendahuluan karangan tidak berformat?
2.  Adakah pelajar sering kekurangan idea ketika membina pendahuluan karangan tidak berformat?
3.  Adakah formula ini akan membantu pelajar anda menjana idea untuk membina pendahuluan karangan?

1. 

Singkatan 4W/1A ialah tanda yang digunakan untuk?

Loading...
Load lesson