Cara Membina Isi Penting Karangan Tidak Berformat dengan IMBaKUP

Cara Membina Isi Penting Karangan Tidak Berformat dengan IMBaKUP

Share this post

ISI PENTING
Isi penting ialah isi yang membincangkan kata kunci utama dan arahan soalan. Isi penting ditulis selepas perenggan pendahuluan. Selain itu, isi penting perlu ditulis antara empat hingga lima perenggan. Isi penting juga perlu ditulis antara lima hingga enam ayat. Kebiasaannya, pelajar sukar untuk menulis isi penting kerana tidak mempunyai idea. Idea yang kurang menyebabkan isi penting yang dibincangkan terlalu singkat dan kurang jelas. Oleh itu, formula IMBaKUP akan membantu pelajar untuk membincangkan isi penting dengan lebih mendalam.

 

IMBaKUP
Formula IMBaKUP ialah singkatan yang digunakan untuk membina enam ayat dalam isi penting karangan. Enam ayat daripadanya dibina dengan menggunakan singkatan, iaitu ‘I’ untuk ‘Idea Utama’, ‘M’ untuk kata tanya ‘Mengapa’, ‘Ba’ untuk kata tanya ‘Bagaimana’, ‘K’ untuk ‘Kesan’, ‘U’ untuk ‘Ungkapan Menarik’ dan ‘P’ untuk ‘Penegasan Kecil’. Ayat bagi ‘Ungkapan Menarik’ tidak dimestikan dalam setiap perenggan isi penting dan pelajar boleh meletakkannya jika ada yang sesuai. Oleh itu, isi penting dalam setiap perenggan boleh dibina dengan lima ayat sahaja. Contoh di bawah merupakan rangka membina isi penting karangan dengan menggunakan formula IMBaKUP:

Ayat 1 – Idea Utama: 
Ayat 2 – Mengapa:
Ayat 3 – Bagaimana:
Ayat 4 – Kesan:
Ayat 5 – Ungkapan Menarik (jika ada):
Ayat 6 – Penegasan Kecil:

 

CONTOH MEMBINA ISI PENTING KARANGAN

Soalan Karangan

Saban tahun, pihak polis sering menerima laporan tentang kemalangan jalan raya yang tidak berpenghujung. Keadaan ini telah membimbangkan semua pihak, terutamanya kerajaan. Oleh itu, bincangkan punca-punca kemalangan jalan raya di Malaysia. 

 

Langkah 1: 

Pelajar dikehendaki untuk mengenal pasti arahan dan kata kunci utama dalam soalan. Berdasarkan pembacaan, soalan mengarahkan pelajar membincangkan punca-punca. Manakala, kata kunci utamanya ialah kemalangan jalan raya. 

 

Langkah 2: 

Pelajar dikehendaki untuk membina ayat pertama isi penting dengan menggunakan singkatan ‘I’, iaitu ‘Idea Utama’. Ayat yang dibina untuk ‘Idea Utama’ ialah ayat yang menjawab arahan dan kata kunci soalan. Oleh itu, pelajar dikehendaki untuk menyatakan salah satu punca kemalangan jalan raya. Ayat di bawah merupakan contoh binaan ayatnya.

Ayat 1: Punca pertama yang menyebabkan kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu kenderaan yang mementingkan diri sendiri. 

 

Langkah 3: 

Pelajar dikehendaki untuk membina ayat kedua isi penting dengan menggunakan singkatan ‘M’, iaitu kata tanya ‘Mengapa’. Kata tanya ‘Mengapa’ ialah kata yang digunakan untuk menanyakan sebab atau alasan sesuatu benda atau perkara. Dalam hal ini, pelajar dikehendaki untuk memberikan alasan lanjut kepada kenyataannya dalam ayat 1. Secara jelas, dalam ayat ini, pelajar perlu menjawab, “Mengapa kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pemandu kenderaan yang mementingkan diri sendiri?”. Ayat di bawah merupakan contoh binaan ayatnya.

Ayat 2: Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat sesetengah pemandu kenderaan yang tidak mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh kerajaan. 

 

Langkah 4: 

Pelajar dikehendaki untuk membina ayat ketiga isi penting dengan menggunakan singkatan ‘Ba’, iaitu kata tanya ‘Bagaimana’. Kata tanya ‘Bagaimana’ ialah kata yang digunakan untuk menanyakan langkah, cara atau contoh sesuatu benda atau perkara. Dalam hal ini, pelajar dikehendaki untuk memberikan contoh kepada kenyataannya dalam ayat 2. Secara jelas, dalam ayat ini, pelajar perlu menjawab, “Bagaimana pemandu kenderaan melanggar peraturan-peraturan jalan raya?”. Ayat di bawah merupakan contoh binaan ayatnya.

Ayat 3: Contohnya, pemandu kenderaan sering melanggar lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju. 

 

Langkah 5: 

Pelajar dikehendaki untuk membina ayat keempat isi penting dengan menggunakan singkatan ‘K’, iaitu ‘Kesan’. Dalam hal ini, pelajar dikehendaki untuk menyatakan kesan kepada kepada perbuatan dalam kenyataan ayat 3. Ayat di bawah merupakan contoh binaan ayatnya.

Ayat 4: Kesannya, pelanggaran peraturan ini akan membahayakan keselamatan pemandu kenderaan lain.

 

Langkah 6: 

Pelajar dikehendaki untuk membina ayat kelima isi penting dengan menggunakan singkatan ‘U’, iaitu ‘Ungkapan Menarik’. Dalam hal ini, pelajar dikehendaki untuk memberikan ungkapan menarik yang sesuai dengan idea utama isi penting. Ungkapan menarik boleh terdiri daripada pepatah, perumpamaan, bidalan, simpulan bahasa, bandingan semacam atau kata-kata hikmah. Namun, ungkapan menarik tidak dimestikan. Ayat di bawah merupakan contoh binaan ayatnya.

Ayat 5: Sikap pemandu yang mementingkan diri sendiri boleh diibaratkan seperti seperti “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”.

 

Langkah 7: 

Pelajar dikehendaki untuk membina ayat keenam isi penting dengan menggunakan singkatan ‘P’, iaitu ‘Penegasan Kecil’. Dalam hal ini, pelajar dikehendaki untuk menegaskan idea utama dengan memasukkan penanda wacana yang bersifat penegasan, seperti ‘sesungguhnya’, ‘tegaslah’, ‘terbuktilah’, ‘ternyatalah’ atau peribahasa seperti ‘sudah terang lagi bersuluh’. Idea utama yang ingin ditegaskan boleh disalin semula daripada ayat 1 dengan mengubah struktur ayat atau digantikan dengan perkataan atau frasa yang bersinonim. Ayat di bawah merupakan contoh binaan ayatnya.

Ayat 6: Tegaslah, kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pemandu kenderaan yang tidak mengendahkan orang disekelilingnya. 

 

Ayat-ayat di bawah merupakan contoh binaan isi penting karangan yang lengkap.

Punca pertama yang menyebabkan kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu kenderaan yang mementingkan diri sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat sesetengah pemandu kenderaan yang tidak mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Contohnya, pemandu kenderaan sering melanggar lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju. Kesannya, pelanggaran peraturan ini akan membahayakan keselamatan pemandu kenderaan lain. Sikap pemandu yang mementingkan diri sendiri boleh diibaratkan seperti seperti “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Tegaslah, kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pemandu kenderaan yang tidak mengendahkan orang disekelilingnya.
 

 

 

 

 

Tag Sekolah Rendah sekolah menengah karangan tidak berformat

Prior knowledge

1.  Apakah kaedah yang sesuai untuk membantu pelajar membina isi penting karangan tidak berformat?
2.  Adakah pelajar sering kekurangan idea ketika membina isi penting karangan tidak berformat?
3.  Adakah formula ini akan membantu pelajar anda menjana idea untuk membina isi penting karangan?

1. 

Singkatan IMBaKUP ialah tanda yang digunakan untuk?

Loading...
Load lesson