Aktiviti Menanam Pokok
Kelestarian alam sekitar bermaksud bagaimana alam sekitar dapat dikekalkan dalam keadaan asalnya atau semula jadi untuk kegunaan generasi akan datang. Aktiviti menanam pokok renek ini boleh dijalankan di Taman Herba, di Taman Sains atau mana – mana kawasan lapang yang telah mendapat kebenaran guru besar.
Guru, ibu bapa, atau penaja boleh menyediakan anak – anak pokok seperti digunakan dalam aktiviti ini. Murid dibimbing untuk menanam anak – anak pokok tersebut dan merekodkan ketinggian pokok dengan menggunakan pita pengukur dalam:
- Sentimeter
- Meter
- Meter dan sentimeter
- Perpuluhan
- Pecahan
Merekod Ketinggian Anak Pokok
Setiap anak pokok boleh menjadi jagaan seorang murid atau secara berpasangan atau berkumpulan. Aktiviti ini boleh dijalankan dalam jangka masa yang panjang (dua hingga tiga bulan atau satu penggal). Murid diminta untuk merekodkan ketinggian anak pokok setiap minggu dengan menggunakan pita pengukur. Murid dibekalkan dengan fail untuk merekod ketinggian anak pokok setiap minggu.
Aktiviti merekodkan ketinggian anak pokok boleh dijalankan pada waktu awal pagi sebelum sesi PdPc bermula, pada waktu rehat atau selepas tamat waktu PdPc. Lantik seorang ketua kumpulan jika aktiviti dijalankan secara berkumpulan. Guru boleh memantau rekod ketinggian anak pokok yang ditulis oleh
murid bagi memastikan murid memahami cara untuk mengukur ketinggian anak pokok dalam sentimeter, meter, atau dalam meter dan sentimeter.
Menambah Panjang
Selepas dua atau tiga bulan, guru membawa murid ke tempat anak – anak pokok ditanam dan guru membimbing murid sekali lagi untuk mengukur ketinggian pokok dengan menggunakan pita pengukur. Labelkan setiap anak pokok dengan ketinggian terkini. Guru seterusnya membimbing murid untuk melakukan penambahan panjang (ketinggian) pokok di dalam bilik darjah. Tunjukkan kaedah menambah panjang bagi:
- meter dengan meter
- sentimeter dengan sentimeter
- meter dan sentimeter dengan meter dan sentimeter
- perpuluhan
- pecahan
Kata Kunci: Sekolah Rendah, Panjang, Kelestarian alam sekitar.
|