Demokrasi merupakan nadi kehidupan bagi sesebuah negara yang berdaulat. Dalam sistem ini, rakyat diberi peluang untuk menentukan hala tuju negara melalui proses pilihan raya. Pengundi, sebagai elemen penting dalam sistem demokrasi, memegang kuasa untuk memilih pemimpin yang akan mentadbir negara. Justeru, hak dan tanggungjawab pengundi bukan sekadar formaliti, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab.
Hak mengundi merupakan satu keistimewaan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Setiap warganegara yang telah mencapai umur yang ditetapkan dan berdaftar sebagai pemilih berhak untuk mengundi tanpa paksaan atau tekanan. Hak ini meliputi kebebasan memilih calon, menyuarakan pendapat secara aman, dan mendapat maklumat yang adil mengenai calon serta parti yang bertanding. Malah, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) juga berhak menikmati kemudahan khas semasa mengundi, seperti bantuan daripada petugas pilihan raya. Hak pengundi ini menunjukkan komitmen negara dalam menjamin keadilan dan kesaksamaan dalam sistem pilihan raya. Seperti firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 188, “Dan janganlah kamu makan harta (orang lain) secara batil,” yang membawa maksud bahawa segala bentuk penyelewengan termasuk rasuah dan manipulasi undi adalah perbuatan yang keji dan tidak wajar berlaku dalam proses pemilihan pemimpin.
Namun begitu, hak ini tidak akan bermakna jika pengundi tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti. Antara tanggungjawab utama pengundi ialah memastikan maklumat mereka dalam daftar pemilih adalah tepat dan terkini. Kesilapan seperti alamat yang salah boleh menghalang pengundi daripada menunaikan hak mereka. Selain itu, pengundi juga wajib mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seperti membawa kad pengenalan dan hadir ke pusat mengundi pada masa yang ditetapkan. Lebih penting lagi, pengundi harus bijak dalam membuat pilihan dengan menilai calon berdasarkan keupayaan, rekod prestasi, dan manifesto yang dibentangkan. Memilih calon hanya berdasarkan populariti atau pengaruh luar tanpa menilai secara kritikal akan membawa kesan buruk kepada kestabilan politik negara.
Dalam konteks semasa, penglibatan generasi muda dalam proses demokrasi juga semakin ketara setelah pelaksanaan Undi18 pada tahun 2019. Golongan belia yang berumur 18 tahun ke atas kini mempunyai hak untuk mengundi dan juga bertanding dalam pilihan raya. Ini mencerminkan kepercayaan negara terhadap kematangan dan potensi belia sebagai agen perubahan. Generasi muda bukan sahaja perlu menggunakan hak mereka dengan bijak, malah harus berperanan menyebarkan kesedaran politik kepada rakan sebaya. Mereka perlu memahami dasar dan polisi yang diperjuangkan oleh parti-parti politik serta menilai kesannya terhadap masa depan negara. Seperti sabda Nabi Muhammad SAW, “Sampaikanlah ilmu walau satu ayat,” generasi muda harus bertindak sebagai penyebar ilmu dan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
Akhir sekali, tanggungjawab sebagai pengundi bukan berakhir selepas membuang undi. Pengundi perlu menghormati keputusan pilihan raya walaupun tidak selari dengan pilihan peribadi. Ini penting bagi menjamin perpaduan dan keharmonian sosial. Tingkah laku pengundi yang bertanggungjawab boleh mencegah ketegangan politik dan mengukuhkan sistem demokrasi. Seperti kata pepatah, “Bersatu kita teguh, bercerai kita runtuh,” kestabilan negara bergantung pada perpaduan rakyat dalam menerima keputusan secara matang.
Kesimpulannya, hak dan tanggungjawab pengundi adalah dua elemen yang tidak dapat dipisahkan dalam memastikan kelangsungan demokrasi yang sihat. Hak mengundi perlu digunakan dengan bijak dan penuh tanggungjawab, manakala pengundi perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan pilihan raya berjalan secara adil dan telus. Dengan kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat, Malaysia pasti mampu membina masa depan yang lebih stabil, adil, dan berintegriti.
|