Komponen Penulisan

 
  • Penulisan ialah perihal atau kegiatan dan sebagainya, menulis (mengarang dan lain-lain), hasil drpd menulis (menga­rang dan lain-lain): dlm usaha meringankan hikayat ini saya telah mengikuti gaya.

 
18.1  Komponen Penulisan

 

  • Perenggan merupakan satu kumpulan ayat tentang isi atau idea yang sama. Dalam penulisan, pembinaan perenggan adalah penting untuk membahagikan isi yang ingin disampaikan. Setiap kali perubahan sesuatu isi atau fokus berlaku, kita perlu memulakan perenggan baru.
  • Untuk menghasilkan perenggan yang baik dan berkesan:
    • Tentukan ayat-ayatnya berkait.
    • Ada kesatuan dan pertautan isi.
    • hanya dapat dicapai jika isi yang berkait sahaja dipilih.
    • Pertautan pula dapat dicapai dengan menggunakan penanda wacana. Contohnya: selain itu, tambahan lagi, di samping itu, juga, seterusnya dan selanjutnya.
       

Perenggan Pengenalan

  • Terdapat dua jenis ayat dalam perenggan pengenalan karangan respons terbuka iaitu :
    • Ayat rangsangan.
    • Ayat arah.
  1. AYAT RANGSANGAN :
    Ayat rangsangan ialah ayat yang berkaitan dengan tema atau soalan karangan. Kebiasaannya, ayat 1 hingga ayat 4 pengenalan merupakan ayat rangsangan (AR). Ayat rangsangan tidak membincangkan perkara yang akan disentuh dalam perenggan isi.
  2. AYAT ARAH :
    Ayat arah ialah ayat yang menjawab soalan karangan. Ayat ini ialah ayat yang menjurus kepada kehendak karangan atau ayat yang menyatakan fokus utama perbincangan karangan.

 

Perenggan Isi

  1. APAKAH AYAT TOPIK ?
    Ayat topik menyatakan isi utama yang ingin disampaikan dalam sesuatu perenggan. Ayat topik mempunyai perkara pokok atau satu aspek yang ingin dinyatakan tentang perkara pokok tersebut. Biasanya pernyataan sesuatu aspek itu akan dapat memberikan fokus kepada penulis dan pembaca. Ayat topik bertindak sebagai satu kawalan dalam penulisan isi (isi sokongan) dalam sesuatu penulisan.
  2. APAKAH AYAT HURAIAN ?
    Ayat topik perlu disokong oleh ayat huraian yang terdiri daripada isi sokongan. Isi sokongan pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti fakta, pendapat, peristiwa, sebab dan akibat, statistik dan contoh. Biasanya, isi sokongan dapat memberikan bukti, menghuraikan idea atau menjawab soalan yang dikemukakan oleh isi utama dalam ayat topik, dan isi tersebut mestilah berkait antara satu sama lain. Dalam penghasilan isi dan penulisan ayat huraian, isi kawalan dalam ayat topik menjadi dasar utama.
  3. APAKAH AYAT PENYIMPUL ?
    • Ayat penyimpul terdiri daripada tiga jenis iaitu :
      • Ayat yang menyatakan semula ayat topik.
      • Ayat yang menyimpul keseluruhan isi dalam perenggan.
      • Ayat menyimpul yang menghubungkan perenggan.
  4. MASUKKAN PERIBAHASA ATAU UNGKAPAN MENARIK YANG RELEVEN DENGAN TOPIK YANG DISENTUH.
  • Contoh peribahasa/ ungkapan yang boleh digunakan:
    • Kalah jadi abu, menang jadi arang.
    • Jong pecah yu kenyang.
    • Kalau terbakar padang, maka terbakar belalang.
    • Air mata jatuh ke perut.

 

Perenggan Penutup

  • Penutup merupakan kesimpulan daripada huraian yang telah ditulis dalam perenggan isi. Penutup merupakan rumusan menyeluruh yang merangkumkan keseluruhan karangan dalam satu penerangan yang padat. Tanpa kesimpulan, karangan berkenaan dikatakan tidak lengkap atau tidak sempurna.
  • Ayat kesimpulan umum : Masalah disiplin.
    Tuntasnya, jelaslah bahawa masalah disiplin yang berlaku dalam karangan murid di sekolah disebabkan oleh kurangnya kasih sayang daripada keluarga.

    Ayat pendapat : Kesan peperangan.
    Kesimpulannya, semua peperangan yang berlaku di mana-mana bahagian dunia ini banyak membawa kesan buruk, baik kepada negara itu sendiri mahupun kepada negara lain.

    Ayat cadangan : Kesan peperangan.
    Oleh itu, setiap pihak atau negara yang berkenaan mestilah mencari jalan yang terbaik atau berunding supaya peperangan dapat dielakkan.

    Ayat komen : Ulasan cerpen.
    Cerpen ini mampu untuk memberikan kesedaran, khususnya kepada remaja, betapa kejayaan dapat dicapai oleh sesiapa sahaja jika ada kesungguhan, kecekalan, semangat, dan kemahuan yang tinggi.

    Ayat penilaian : Kesan peperangan.
    Jika langkah ini tidak diambil, negara di seluruh dunia akan menghadapi masalah atau menerima kesan daripada peperangan tersebut.

    Ayat harapan : Kepentingan perpaduan.
    Jadi, rakyat harus sedar akan kepentingan perpaduan kerana sekali perpaduan itu runtuh, maka susah untuk mewujudkannya semula.

    Ingatlah pepatah Melayu yang mengatakan bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

    Ayat Penutup: Kesan peperangan
    Peperangan merupakan kejadian yang sia-sia kerana peperangan ini tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu kalah jadi abu, menang jadi arang.