7.1 |
Pengasasan Kesultanan Pahang, Perak, Terengganu dan Selangor |
|
|
Kesultanan Pahang |
Kesultanan Pahang diasaskan oleh keluarga diraja Kesultanan Melayu Melaka pada zaman kegemilangan kerajaan tersebut.
- Pada abad ke-15, Pahang merupakan sebahagian wilayah naungan Kesultanan Melayu Melaka. Seri Bija Diraja dilantik sebagai wakil untuk mentadbir Pahang. Semasa Melaka diperintah oleh Sultan Mansur Shah, baginda telah menghantar puteranya. Raja Muhammad untuk ditabalkan sebagai Sultan Pahang.
- Raja Muhammad berangkat dari Melaka ke Pahang diiringi oleh golongan bangsawan Melaka. Mereka telah dilantik sebagai Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Hulubalang Besar serta pengikut mereka untuk membantu mentadbir kerajaan Pahang.
- Raja Muhammad mengasaskan Kesultanan Pahang pada tahun 1470 dengan gelaran Sultan Muhammad Shah.
- Sultan Muhammad Shah mendirikan pusat pemerintahan di Pekan, berhampiran Kuala Sungai Pahang. Wilayah pemerintahan kerajaan Pahang meliputi dari Sedili Besar hingga Terengganu.
- Sultan Abdul Jamil Shah merupakan sultan ketiga yang memerintah Pahang (1495-1512) dan antara sultan yang masyhur. Baginda mengekalkan hubungan yang harmoni dengan Kesultanan Melayu Melaka. Baginda juga berjaya mempertahankan Pahang semasa diserang oleh Siam bersama-sama bantuan daripada Kesultanan Melayu Melaka.
- Sultan Abdul Ghafur Muhaiyuddin Shah (1592-1614) tidak meninggalkan waris kerana puteranya Raja Muda Abdullah mangkat. Oleh itu, Pahang diperintah oleh Kesultanan Johor Riau dari tahun 1614 hingga 1884. Ketika ini Pahang merupakan wilayah pegangan Bendahara Johor.
- Keluarga Bendahara Johor yang mentadbir Pahang, kemudian mengasaskan Kesultanan Pahang yang baharu. Pengasasnya ialah Bendahara Siwa Raja Wan Ahmad. Wan Ahmad ditabalkan sebagai Sultan Pahang pada 12 Disember 1884 dengan gelaran Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah. Dengan penggunaan gelaran sultan ini, maka muncullah kesultanan baharu di Pahang yang berdaulat dan kekal hingga hari ini.
|
|
|
Kesultanan Perak |
Kesultanan Perak diasaskan oleh keluarga diraja Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-16. Kerajaan ini lahir selepas berakhirnya Kesultanan Melayu yang berpusat di Melaka.
- Pada abad ke-15, Perak merupakan sebahagian wilayah naungan Kesultanan Melayu Melaka. Serangan Portugis menyebabkan Sultan Mahmud Shah dan keluarga meninggalkan Melaka dan akhirnya bersemayam di Kampar, Sumatera. Pembesar Perak bernama Tun Saban dan Nakhoda Kassim telah ke Kampar menjemput putera Sultan Mahmud Shah bernama Raja Muzaffar untuk ditabalkan sebagai Sultan Perak.
- Raja Muzaffar berangkat ke Perak bersama-sama alat kebesaran berupa sebilah pedang Cura Si Manja Kini, sebilah keris, cap mohor, nobat dan Surat Ciri. Baginda berangkat ke Perak bersama-sama anak, isteri, para pengikut dan pengiring yang menjemputnya dari Perak.
- Raja Muzaffar mengasaskan Kesultanan Perak pada tahun 1528 dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah.
- Sultan Muzaffar Shah mendirikan pusat pemerintahan yang pertama di Tanah Abang, di pesisir Sungai Perak. Keturunan Sultan Muzaffar Shah mewarisi takhta hingga hari ini.
- Sultan Iskandar Dzulkarnain, Sultan Perak ke-15 (1752-1765) telah memperkemaskan sistem pentadbiran negeri Perak dan mula mengguna pakai Undang-Undang 99 Perak.
|
|
|
Kesultanan Terengganu |
Kesultanan Terengganu mempunyai kaitan rapat dengan Kesultanan Johor Riau. Kesultanan ini diasaskan pada awal abda ke-18 oleh keluarga diraja daripada susur galur Bendahara Johor Riau.
- Terengganu merupakan wilayah naungan Kesultanan Johor Riau sejak abad ke-16. Pada tahun 1708, Sultan Abdul Jalil menganugerahkan Terengganu kepada Tun Zainal Abidin, iaitu putera kepada Tun Habib Abdul Majid, Bendahara Johor Riau yang ke-11. Tun Zainal Abidin juga merupakan putera angkat Raja Patani yang digelar Nang Chayam (Raja Kuning). Raja Patani telah menyediakan kelengkapan untuk menabalkan Tun Zainal Abidin sebagai Sultan Terengganu.
- Tun Zainal Abidin berangkat ke Terengganu diiringi oleh 80 orang keluarga Patani termasuk beberapa orang tokoh agama seperti Qadhi Wan Imam Mahmud dan Che Buang. Antara alat kebesaran yang turut dibawa termasuklah keris diraja, keris panjang Nang Chayam.
- Tun Zainal Abidin mengasaskan Kesultanan Terengganu pada tahun 1708 dengan gelaran Sultan Zainal Abidin I.
- Sultan Zainal Abidin I mendirikan pusat pemerintahan yang pertama di Tanjung Baru, Kuala Berang. Wilayah Terengganu semasa diasaskan meliputi dari Kemaman hingga Besut. Keturunan Sultan Zainal Abidin I mewarisi takhta Terengganu hingga hari ini.
- Sultan Zainal Abidin III (1881-1918) merupakan antara Sultan Terengganu yang masyhur. Baginda terkenal sebagai sultan yang membawa pemodenan Terengganu. Antara sumbangan penting baginda termasuklah penggubalan undang- undang tubuh, iaitu Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dikenali sebagai Itqan al-muluk bi ta'dil al-suluk. Baginda juga memperkemaskan sistem sukat dan timbang. menubuhkan mahkamah syariah, menubuhkan pasukan polis dan membina Istana Maziah, istana rasmi Kesultanan Terengganu hingga hari ini.
|
|
|
Kesultanan Selangor |
Kesultanan Selangor diasaskan oleh keluarga diraja Bugis yang berpengaruh dalam Kesultanan Johor Riau pada abad ke-18.
- Selangor merupakan sebahagian daripada wilayah naungan Kesultanan Johor Riau sejak abad ke-16. Pada abad ke-18, masyarakat Bugis semakin ramai menetap di Selangor. Pada ketika itu, Daeng Chelak yang berketurunan Bugis menjadi Yang di-Pertuan Muda Kesultanan Johor Riau.
- Putera Daeng Chelak bernama Raja Lumu telah menghadap Sultan Perak, Sultan Mahmud Shah untuk mendapatkan pengiktirafan. Sultan Mahmud Shah telah menabalkan Raja Lumu sebagai sultan Selangor. Baginda dianugerahkan nobat dan cap mohor.
- Raja Lumu mengasaskan Kesultanan Selangor pada tahun 1766 dengan gelaran Sultan Salehuddin Shah.
- Sultan Salehuddin Shah mendirikan pusat pemerintahan pertama di Kuala Selangor. Keturunan Sultan Salehuddin Shah mewarisi takhta Selangor hingga hari ini.
- Sultan Ala'iddin Suleiman Shah (1898-1938) merupakan antara Sultan Selangor yang masyhur. Pada zaman baginda, banyak jalan raya dan landasan kereta api telah dibina. Pembinaan rumah dan kedai meningkat terutama di Kuala Lumpur dan Klang. Kebijaksanaan baginda memerintah telah mendorong rakyat mengadakan sambutan keramaian Jubli Emas di Klang sempena genap 40 tahun pemerintahan baginda.
|
|
|