Kajian mendapati jumlah penyu yang mendarat di negara kita kian berkurangan. Nampaknya spesies ini kian pupus. Penyu-penyu itu bukan sahaja mati kerana termakan plastik yang disangkanya agar-agar laut, tetapi sebab utamanya ialah kerana keadaan laut yang dicemari oleh minyak yang dibuang oleh kapal-kapal. Ini ditambah dengan penggunaan pukat tarik yang digunakan oleh para nelayan. Haiwan ini sering didapati terperangkap di dalam pukat jenis ini.
Hal ini menyebabkan kerajaan melancarkan kempen "Selamatkan Penyu Kita". Tujuan utama kempen ini ialah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang peri pentingnya mereka melindungi haiwan ini.
Sehubungan kempen itu, dua orang penyelidik dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Encik Liew Hock Chark dan Dr Chan Eng Heng telah melakukan kaji selidik terhadap lima ekor penyu dengan menggunakan satelit. Mereka berpendapat tidak banyak tabiat penyu yang diketahui selepas reptilia itu bertelur. Ini menyukarkan usaha untuk menyelamatkan spesies ini.
Usaha itu dilakukan dengan memasang alat pengesan pada cangkerang penyu itu. Selepas bertelur di Pulau Redang pada tahun 1993 dan 1994, lima ekor penyu itu telah dipasang alat tersebut. Alat ini menggunakan kuasa bateri yang tahan selama tiga bulan dan isyarat dari alat pemancar itu akan aktif apabila penyu-penyu itu timbul di permukaan air untuk bernafas.
"Kita perlu tahu ke mana penyu-penyu pergi dan tempat ia mencari makan sebelum kita dapat melindunginya," jelas Liew.
Hasil kajian berkenaan mendapati penyu itu mengembara beribu-ribu batu sehingga ke Indonesia atau Filipina untuk mencari makan. Ketika penyu-penyu itu mendarat untuk bertelur di Pulau Redang, keselamatan mereka terjamin. Ini kerana kawasan tersebut terkawal sedangkan kehidupan penyu-penyu di tempat mereka mencari makan itu sebaliknya. Di negeri-negeri itu penyu ditangkap dan dagingnya dijadikan makanan. Oleh yang demikian, kedua-dua penyelidik ini mengesyorkan agar diwujudkan kerjasama serantau antara negara kita dengan negara-negara jiran supaya penyu-penyu itu dilindungi sepenuhnya.
|